Rabu, 18 Disember 2019 | 12:26pm
Keadaan tempat kejadian susulan seorang mangsa cedera parah selepas ditetak di Taman Keladi, Sungai Petani. - Ihsan pembaca
Keadaan tempat kejadian susulan seorang mangsa cedera parah selepas ditetak di Taman Keladi, Sungai Petani. - Ihsan pembaca

Lelaki parah diserang guna parang

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki parah ditetak dalam insiden pergaduhan di sebuah rumah Taman Keladi, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa berusia 29 tahun diserang dua lelaki bersenjatakan parang ketika sedang membaiki motosikal di kawasan parkir rumah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa selepas tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu membuat laporan polis berhubung ugutan diterimanya.

“Suspek dikatakan datang ke rumah berkenaan dalam keadaan marah sebelum mangsa bertindak melarikan diri ke dalam tandas.

“Seorang daripada suspek kemudian menetak pintu tandas sehingga pintu tandas terbuka dan mangsa cuba menepis serangan menggunakan tangannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan itu, mangsa mengalami luka di tapak tangan kiri dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Shamsudin berkata, ibu bapa mentua mangsa yang ketika itu berada di tempat kejadian turut ditolak sehingga terjatuh oleh suspek ketika cuba meleraikan pergaduhan.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di Taman Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 10.30 pagi semalam untuk siasatan lanjut. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya,” katanya.

Berita Harian X