Jumaat, 13 Disember 2019 | 6:25pm

KMUM adakan demonstrasi aman serah memorandum 13 tuntutan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) hari ini mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut peningkatan kebajikan dan keselesaan lebih 13,000 pelajar universiti tertua di Malaysia itu.

Presidennya, Mohd Akmal Haziq Ahmad Rumaizi, berkata demonstrasi berlangsung di hadapan bangunan Canseleri kampus itu, di sini, membabitkan penyerahan memorandum mengandungi 13 tuntutan kepada Naib Canselor UM.

Katanya, antara desakan utama ialah pihak pengurusan UM segera menambah kekerapan jadual pengangkutan awam, terutama bas henti-henti daripada antara sejam hingga tiga jam sebuah bas kepada setiap 15 minit.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana kira-kira 60 peratus pelajar UM kini tinggal di luar kampus dan terpaksa membelanjakan duit poket kira-kira RM120 sebulan untuk berulang-alik dari rumah sewa setiap hari.

“Kebanyakan mahasiswa terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif, termasuk perkhidmatan e-hailing, kerana sistem bas henti-henti disediakan UM amat tidak efektif dengan kekerapan antara satu hingga tiga jam sekali berbanding setiap 15 minit sebelum ini.

KMUM ketika Himpunan Aman Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya. - NSTP/Hafiz Sohaimi
KMUM ketika Himpunan Aman Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya. - NSTP/Hafiz Sohaimi

“Justeru, kami mendesak pihak UM mengembalikan semula perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL bagi memudahkan mahasiswa berulang-alik dari asrama mahupun rumah sewa di luar kampus ke universiti seperti beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 100 mahasiswa sebelum menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Khas Naib Canselor UM, Mohd Khairi Md Jaafar.

Mohd Akmal Haziq berkata, KMUM yang disokong lebih 10 persatuan pelajar lain di UM, turut mahu pihak pengurusan universiti memperbaiki pelbagai kemudahan dalam kampus, termasuk laluan pejalan kaki dan kolej kediaman kerana banyak yang sudah rosak serta terlalu daif.

Beliau menyifatkan alasan diberi pihak pengurusan universiti bahawa tiada dana mencukupi sebagai tidak logik dan lapuk kerana difahamkan, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sudah meluluskan peruntukan membabitkan kenaikan RM57 juta kepada UM.

“KMUM juga mendesak pihak pengurusan UM mengurangkan kadar yuran untuk latihan industri dan kelas lanjutan, selain memansuhkan kadar sewa dikenakan terhadap persatuan pelajar untuk menggunakan pelbagai kemudahan seperti padang bola sepak serta dewan tertentu.

“Selain itu, kita mendesak Naib Canselor memberi kebebasan asasi sepenuhnya kepada mahasiswa UM selari Perlembagaan Persekutuan, dan meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekitar kampus,” katanya.

Mohd Akmal Haziq (empat dari kanan) menyerahkan tuntutan mahasiswa kepada Mohd Khairi ketika Himpunan Awam Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Mohd Akmal Haziq (empat dari kanan) menyerahkan tuntutan mahasiswa kepada Mohd Khairi ketika Himpunan Awam Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Berita Harian X