Jumaat, 13 Disember 2019 | 2:57pm

Tiga remaja didakwa mencuri

SEREMBAN: Tiga remaja berusia 14 dan 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencuri di sebuah rumah di Simpang Pertang, Jelebu, awal bulan ini.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan seorang remaja berusia 15 tahun, didapati dengan tidak jujur memiliki sebuah telefon bimbit jenis Nokia yang dipercayai sebagai harta curi di rumah No 12 Rumah Murah Simpang Pertang, pada 8 Disember 2019 jam 8 pagi.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dua lagi remaja berusia 14 dan 15 tahun, didakwa secara tidak jujur mengambil beg berwarna hijau, satu telefon bimbit jenis Vivo, kad lesen Vokasional, kad lesen memandu dan kad pengenalan dipercayai harta curi di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman. Seorang remaja diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie, manakala dua lagi diwakili Jayaprakash Rao.

Mahkamah kemudian membenarkan seorang remaja diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi diikat jamin masing-masing RM1,500 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 23 Januari ini.

Berita Harian X