Rabu, 11 Disember 2019 | 5:43pm
Zulkarnain (tiga kanan) memeriksa ketelusan cahaya kenderaan bercermin gelap ketika Ops bersepadu JPJ, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen di Stesen Penguatkuasa (SPK) Air Sejuk, Setiu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Kenderaan cermin gelap: Pemandu, pemilik kena saman

PERMAISURI: Pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin, berkata bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan.

“Sekiranya pemandu ketika itu bukan pemilik kenderaan, saman akan dikeluarkan juga kepada pemilik menjadikan enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik,” katanya pada Operasi Khas Cermin Gelap di Stesen Penguatkuasaan JPJ Air Sejuk, di sini, hari ini.

Pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan.

Operasi khas itu dilakukan di tiga lokasi iaitu Jalan Paka-Dungun, di hadapan Stesen Penguatkuasaan Kemaman dan Air Sejuk bermula jam 9 pagi semalam hingga jam 1 tengah hari, hari ini.

Sebanyak 781 notis dikeluarkan termasuk 338 saman kesalahan cermin gelap dan sebanyak lima kenderaan disita. Sepanjang dua hari operasi khas itu, kategori kenderaan yang paling banyak diberi notis saman membabitkan kesalahan cermin gelap adalah kenderaan persendirian terutama kereta mewah.

Zulkarnain turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya termasuk membabitkan spesifikasi ditetapkan bagi ketelusan cermin kenderaan.

“Spesifikasi cermin gelap ditetapkan adalah mengikut standard antarabangsa dan kami khuatir penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi akan mengganggu pemanduan apatah lagi sekarang musim hujan dan boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Berita Harian X