Rabu, 11 Disember 2019 | 3:47pm
Lelaki terkena renjatan elektrik manakala rakannya ditahan selepas mereka menceroboh pencawang di Jalan Merudu, di Sarikei, semalam. - Foto hiasan
Lelaki terkena renjatan elektrik manakala rakannya ditahan selepas mereka menceroboh pencawang di Jalan Merudu, di Sarikei, semalam. - Foto hiasan

Seorang terkena renjatan, rakan ditahan ceroboh pencawang elektrik

SARIKEI: Padah menimpa seorang lelaki apabila terkena renjatan elektrik manakala rakannya ditahan selepas mereka menceroboh pencawang di Jalan Merudu, di sini, semalam.

Suspek yang terkena renjatan dilaporkan parah dan terpaksa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Alfian Awang Bujang, berkata suspek yang parah berusia 32 tahun manakala rakannya baru berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kedua-duanya adalah rakyat tempatan dan perbuatan mereka terbongkar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei, kira-kira jam 1 pagi semalam.

“Polis yang menerima maklumat mengenainya bergegas ke hospital untuk memberkas suspek,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik sekitar Jalan Merudu, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Susulan itu katanya, kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB) melakukan pemeriksaan susulan dan mendapati ada kesan pencerobohan dan beberapa peralatan penting terbakar.

“Selain itu, beberapa komponen elektrik terbakar antaranya plat tembaga dan wayar tembaga,” katanya.

Berikutan itu kakitangan terbabit membuat laporan di Balai Polis Sarikei pada jam 12.21 tengah malam.

Berita Harian X