Rabu, 11 Disember 2019 | 2:08pm
Mohd Saliheen (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan dan mengugut untuk membunuh serta menyimbah asid terhadap isterinya, bulan lalu. - NSTP/Nurul Fahtihah Zakinan
Mohd Saliheen (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan dan mengugut untuk membunuh serta menyimbah asid terhadap isterinya, bulan lalu. - NSTP/Nurul Fahtihah Zakinan

Penganggur mengaku tidak bersalah cederakan, ugut isteri

AYER KEROH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan dan mengugut untuk membunuh serta menyimbah asid terhadap isterinya, bulan lalu.

Tertuduh yang juga bapa kepada empat anak, Mohd Saliheen Bakar, 35, membuat pengakuan itu sejurus jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sengaja mencederakan isterinya berusia 32 tahun dengan menggunakan rotan, di bilik tidur kediaman mereka di Kampung Padang Temu, jam 2 pagi 17 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh dan menyimbah asid terhadap wanita itu yang juga pembantu kedai makan, di lokasi dan pada waktu sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim yang menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh diikat jamin isteri sahaja.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Norma kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, selain mengarahkannya untuk tidak mendekati mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 13 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X