Jumaat, 6 Disember 2019 | 12:46pm

Kejamnya nenek

SIBU: Kesan luka pada bibir seorang kanak-kanak perempuan membongkar perbuatan kejam nenek dan bapa saudara yang disyaki menderanya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata nenek berusia 50-an dan anaknya, 30, sudah ditahan di rumah mereka selepas satu laporan polis dibuat ibu mangsa pada 2 Disember lalu.

Beliau berkata, kanak-kanak malang berusia lebih setahun itu pada mulanya dihantar ibunya ke sebuah klinik untuk menimbang berat tetapi doktor meminta mangsa dirujuk ke Hospital Sibu kerana terdapat kesan luka pada bibirnya.

“Selepas dibawa ke Hospital Sibu pada jam 11 pagi, 1 Disember lalu, doktor mendapati kanak-kanak itu mengalami patah tulang kaki kanan, patah tulang tangan kiri, kesan luka di muka dan leher serta koyak kulit di dalam mulut dan luka bibir.

“Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis dan nenek serta bapa saudara mangsa ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik manakala ibu dan bapanya bercerai pada Julai lalu.

“Mangsa dijaga neneknya sejak lahir kerana ibunya bekerja di sebuah kilang.

“Sebelum ini, ibu mangsa juga menyedari kecederaan dialami anaknya tetapi hanya dimaklumkan mangsa terjatuh dari katil,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X