Khamis, 5 Disember 2019 | 2:28pm

Jenazah Nassier Wahab selamat dikebumikan

KLANG: Jenazah Datuk Nassier Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah di sini pada jam 11.35 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 tengah malam tadi selepas dimasukkan ke hospital itu kelmarin.

Isterinya, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, berkata beliau membawa Allahyarham ke klinik untuk proses mengambil darah bagaimanapun doktor memberitahu suaminya itu perlu dimasukkan ke wad ekoran tekanan darah rendah.

“Selepas masuk ke wad, doktor menjalankan proses menambah darah serta nutrisi ke dalam badannya kerana ketika itu mukanya pucat.

“Dia juga demam malam tadi dan selepas mengambil panadol dia berehat sebelum tiba-tiba bangun seterusnya muntah darah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui majlis pengebumian penyanyi itu.

Beliau berkata, Allahyarham sudah tidak sedarkan diri selepas muntah darah dan doktor melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 40 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

JENAZAH Datuk Nassier Wahab dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir
JENAZAH Datuk Nassier Wahab dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir

Katanya, arwah disahkan mengalami ketumbuhan di gusi pada September tahun lalu dan menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi sejak daripada itu.

“Rawatan kimoterapi dan radioterapi sudah selesai sebulan lalu. Walaupun kami terkejut dengan pemergian yang tiba-tiba, kami kena reda kerana masanya sudah sampai,” katanya.

Terdahulu, jenazah Nassier dibawa ke Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Batu Belah di sini untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis hadir menziarah Allahyarham. Antaranya penyanyi, Datuk Nash, Datuk M Nasir, Datuk Dj Dave, Zarul Husin, Datuk Khadijah Ibrahim, Herman Tino dan Ramlah Ram.

JENAZAH Datuk Nassier Wahab dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir
JENAZAH Datuk Nassier Wahab dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir

Sementara itu, Nash berkata Nassier adalah rakan ‘WhatsApp’ solat Subuhnya kerana mereka berdua sering menghantar pesanan mengingatkan tentang solat itu.

“Kami saling berpesan serta mengingatkan antara satu sama lain dan pemergiannya adalah sesuatu yang berat untuk saya namun perlu reda seterusnya mendoakan yang terbaik buatnya.

“Dia seorang sahabat yang baik, merendah diri serta sering membuat orang sekelilingnya tersenyum malahan walaupun sakit, dia masih menghantar pesanan kepada saya,” katanya.

Selain isteri, Allahyarham meninggalkan seorang anak, Intan Najihah, 22.

Nassier berasal dari Pulau Pinang, memulakan karier sejak era 1980-an dan aktif menyanyi serta berlakon.

Antara lagu popular Allahyarham adalah Sekali Aku Jatuh Cinta, Undangan Rindu dan Memori Cinta Luka.

Pada 15 Julai lalu, BH Online melaporkan Nassier menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan, di sini.

Pembantu peribadinya, Ariff Salim dilaporkan berkata, ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.

Sejak itu, Nassier dilaporkan kerap sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan.

DATIN Fatimah Abd Rauf menyiram air di pusara Datuk Nassier Wahab yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir
DATIN Fatimah Abd Rauf menyiram air di pusara Datuk Nassier Wahab yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah. - Foto Roslin Mat Tahir

JENAZAH Datuk Nassier Wahab disembahyangkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Batu Belah, Klang. - Foto Roslin mat Tahir
JENAZAH Datuk Nassier Wahab disembahyangkan di Masjid Sirajuddin Al-Anuar, Batu Belah, Klang. - Foto Roslin mat Tahir
Berita Harian X