Isnin, 2 Disember 2019 | 5:48pm
PENDUDUK menggunakan perahu mengharungi banjir di Kampung Matang, Kuala Berang. NSTP/Ghazali Kori.
PENDUDUK menggunakan perahu mengharungi banjir di Kampung Matang, Kuala Berang. NSTP/Ghazali Kori.

Jumlah mangsa banjir berkurangan

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu menurun apabila hanya 5,495 mangsa daripada 1,630 keluarga dicatatkan sehingga jam 5 petang tadi, berbanding 5,873 mangsa daripada 1,736 keluarga pada jam 9 pagi.

Bagaimanapun, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat daripada 121 kepada 123 yang dibuka di tujuh daerah di negeri ini bagi tempoh sama.

Berdasarkan laporan Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Besut mencatatkan mangsa paling ramai membabitkan 1,744 individu daripada 452 keluarga dengan 50 PPS dibuka di daerah berkenaan.

Setiu mencatatkan 1,789 mangsa (513 keluarga) ditempatkan di 28 PPS; Hulu Terengganu seramai 1,426 mangsa (523 keluarga) di 26 PPS dan Dungun seramai 393 mangsa (110 keluarga) dipindahkan ke 10 PPS.

Kemaman pula mencatatkan seramai 24 mangsa (enam keluarga) dengan dua PPS yang beroperasi; Marang 111 mangsa (24 keluarga) berpindah ke empat PPS manakala Kuala Nerus seramai 48 individu (12 keluarga) di tiga PPS.

Berita Harian X