Sabtu, 23 November 2019 | 10:45pm
Tiga individu termasuk seorang guru dan anaknya maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Mersing-Endau, berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, dekat sini, petang tadi. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

3 maut, 5 parah dua kereta bertembung

MERSING: Tiga individu termasuk seorang guru dan anaknya maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Mersing-Endau, berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.23 petang itu, Abdul Manan Ahmad, 59, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil, Kluang, dan anaknya, Nur Ainil Jannah Abdul Manan, 22, yang menaiki Toyota Vios, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Penumpang hadapan sebuah lagi kereta iaitu jenis Honda City, Mahmud Md Akhsan, 71, dari Sungai Bagan Darat, Rengit, Batu Pahat, turut maut dalam kemalangan itu.

Sementara itu, pemandu Honda City, Mohd Ruzaimie Mahmud, 32, dan empat lagi penumpang belakang kereta itu, Siti Kalsom Sarbini, 63; Siti Noraya Sabtu, 32, serta dua beradik, Fatimah Az Zahra Mohd Ruzaimie, 3, dan Muhammad Ammar Nafis, 5, dilaporkan parah dan sedang dirawat di Hospital Mersing.

Pemangku Ketua Polis Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa, berkata kemalangan berlaku di jalan berselekoh menuruni bukit dalam keadaan jalan basah berikutan cuaca hujan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Vios dinaiki Abdul Manan dan anaknya, Nur Ainil Jannah, dalam perjalanan dari arah Mersing menuju ke arah Endau.

“Ketika melalui tempat kejadian di Kilometer 15 Jalan Mersing-Endau, di jalan berselekoh dan menuruni bukit, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Honda City dari arah bertentangan yang dipandu Mohd Ruzaimie.

Tiga individu termasuk seorang guru dan anaknya maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Mersing-Endau, berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, dekat sini, petang tadi. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat
Tiga individu termasuk seorang guru dan anaknya maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Mersing-Endau, berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, dekat sini, petang tadi. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

“Pertembungan itu menyebabkan Abdul Manan dan Nur Ainil Jannah, yang berasal dari Kluang serta Mahmud yang berasal dari Rengit, Batu Pahat, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.

“Semua mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan di sini, malan ini.

Mohd Nor berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mohd Alias Hussin, berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.49 petang dengan dimaklumkan terdapat kemalangan jalan raya berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong.

Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba Endau dan Mersing kemudian digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 17 anggota.

“Operasi menyelamat semua mangsa kemudian tamat sepenuhnya pada 6.50 petang,” katanya.

Berita Harian X