Sabtu, 23 November 2019 | 6:30am
Antara yang ditahan dalam serbuan pesta liar oleh polis di dua unit kondominium berasingan di Jalan Ampang, kelmarin. - Foto ihsan sumber

Polis serbu dua pesta liar

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu dua pesta liar di dua unit kediaman berasingan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menyerbu sebuah unit kondominium pada jam 10.30 pagi, susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

Menurut sumber, seramai 14 remaja di bawah umur ditahan terdiri daripada enam lelaki dan lapan perempuan.

“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium itu kemudian menemui satu paket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah ketamin.

“Turut ditemui, pil Eramin 5 dan pelbagai pil disyaki dadah jenis ecstasy.

“Polis turut merampas alat pembesar suara dan `laser display system’ yang dipercayai digunakan untuk berhibur di unit kondominium terbabit,” katanya.

Serbuan kedua pula dilakukan di unit berlainan kondominium yang sama pada jam 12.30 tengah hari kerana disyaki menganjurkan pesta liar.

Hasil serbuan kedua, polis menahan dua remaja perempuan bawah umur dan dua pelajar masing-masing seorang lelaki dan perempuan.

“Dalam serbuan berkenaan, polis menemui sejumlah pil ecstasy, ketamin dan air ketum.

“Setakat ini, dipercayai penganjur kedua-dua pesta liar berkenaan adalah antara remaja bawah umur yang ditahan.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X