Rabu, 20 November 2019 | 12:55pm

Jurujual hidup mewah hasil edar dadah

KOTA BHARU: Gaya hidup mewah seorang jurujual kereta terbongkar apabila dia didapati terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan anggota narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad lalu di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu bersama dadah bernilai lebih RM3 juta.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata, terdahulu pihaknya menyerbu sebuah rumah di Lubok Jong, Rantau Panjang pada jam 9 pagi hari sama dan menahan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun.

Katanya, pihaknya kemudian ke sebuah hotel terkemuka di daerah ini untuk menahan suspek utama.

“Anggota mengetuk pintu bilik hotel namun tidak mendapat respon sebelum kami terpaksa memecah masuk dengan kerjasama pihak hotel.

“Suspek ketika itu sedang bersembunyi di dalam bilik air dan hasil pemeriksaan menemui sehelai seluar panjang jenama Polo di atas katil yang terselit satu foil warna merah/perak berisi pil jenis dadah Eramin 5 di poket hadapan.

“Kami kemudian dibawa ke sebuah kenderaan Lexus NX200T dan menemui empat beg berzip dan satu bungkusan yang mengandungi 186,000 pil kuda seberat 20.781 kilogram (kg) serta syabu seberat 39.21 kg dan nilai keseluruhan sebanyak RM3.76 juta,” katanya ketika sidang media, di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Menurutnya, bekalan dadah itu diperoleh dari Thailand untuk pasaran di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Suspek yang positif methampetamine juga memiliki sembilan rekod lampau berkait kes curi kenderaan, samun, kesalahan di bawah akta senjata api serta dadah.

“Kami menyita pelbagai barang termasuk enam kenderaan mewah, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan, seutas gelang tangan keemasan, dua geran mukim dan tujuh buku akaun simpanan yang keseluruhan berjumlah RM540,850,” katanya.

Beliau berkata, suspek bersama pasangan suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 18 sehingga 24 November,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Abdullah (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah dipercayai pil kuda dan syabu serta jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta pada sidang media di IPK Kelantan. - NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X