Selasa, 19 November 2019 | 1:43pm
BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Asyraf Hamzah

Najib tidak puas hati Laporan Audit 1MDB - Ali Hamsa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak mahu dua dua penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berbeza dimasukkan dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

Bekas perdana menteri itu juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan isi kandungan dalam laporan audit terbabit.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam keterangan di Mahkamah Tinggi berkata, perkara itu dinyatakan Najib dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri Ketua Audit Negara (ketika itu) Tan Sri Ambrin Buang.

Ali dan Ambrin dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai Laporan Pengauditan 1MDB bagi pembentangan di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menurut saksi pendakwaan keempat itu, beliau pada ketika itu tidak tahu mengenai masalah Penyata Kewangan Tahunan 1MDB yang dilaporkan dalam Laporan Pengauditan itu.

“Saya ingin jelaskan di sini, walaupun saya Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk bermesyuarat sebagai Ahli Lembaga Penasihat.

“Saya juga tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen berkaitan dengan peranan saya sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, dan tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses di peringkat audit yang dibuat Jabatan Audit Negara.

“Selepas selesai perbincangan, saya diarahkan Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan di antara Jabatan Audit dan wakil 1MDB, Arul Kanda mengenai perkara yang beliau (Najib) tidak berpuas hati dalam Laporan Audit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya.

Ali berkata, beliau juga diarahkan untuk tidak mencetak Laporan Pengauditan 1MDB sehingga mendapat persetujuan daripada Najib.

Jelasnya lagi, pada waktu itu beliau tidak mengetahui sama ada status Laporan Pengauditan 1MDB sudah dimuktamadkan atau belum.

Berita Harian X