Sabtu, 16 November 2019 | 8:31pm
Gambar hiasan.

Juruteknologi makmal ditemui meninggal dunia

BANTING: Seorang juruteknologi makmal ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan parkir di Pantai Morib, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai Nadiah Sapaian, 24, ditemui orang ramai dalam kereta jenis Hyundai Matrix.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata hasil pemeriksaan polis mendapati mangsa terbaring di tempat duduk pemandu dalam keadaan enjin dan penghawa dingin kereta masih hidup.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian kerana barang peribadi, termasuk beg tangan serta telefon bimbit didapati tidak hilang.

“Mangsa bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan masih bujang serta tinggal di Jalan Jering, Kampung Indah, Banting.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, hasil bedah siasat masih belum diketahui dan mayat mangsa sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah pada badan mangsa serta lokasi kejadian,” katanya.

Berita Harian X