Rabu, 13 November 2019 | 11:01am
Bekas pemain dram kumpulan Ukays, Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan Daesh pada 2014 disahkan maut dalam serangan udara tentera Russia di Syria, Mac lalu.

Bekas pemain dram Ukays terbunuh di Syria

KUALA LUMPUR: Bekas pemain dram kumpulan Ukays, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Akel Zainal yang menyertai Daesh pada 2014, disahkan maut dalam serangan udara tentera Russia di Syria, Mac lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata turut terkorban isteri dan dua anaknya berusia dua dan tiga tahun.

Katanya, hasil maklumat risikan mendapati rumah mereka di Baghouz, Syria terkena letupan bom dalam serangan udara.

“Ini (kematian Akel Zainal dan keluarga) hasil maklumat risikan diterima.

“Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Abu Ain atau Mohd Rafi Udin, 53, yang juga anggota Daesh dilaporkan maut pada Januari lalu, juga dalam serangan udara Russia di Syria,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya menunggu laporan secara rasmi mengenai maklumat risikan berkenaan.

Pada Oktober 2014, Akel dipercayai merekrut wanita khususnya daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk ke Syria.

Seorang bekas pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Syamimi Faiqah yang dipercayai lari ke Syria, dilaporkan berkahwin dengan Akel selepas berkenalan menerusi Facebook.

Berita Harian X