SEPANG: Nelayan Orang Asli yang dilaporkan hilang dua hari lalu, disahkan meninggal dunia selepasnya mayatnya ditemui sekumpulan pemancing, pagi tadi.
Mayat Dol Naik, 67, dari Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, ditemui kira-kira jam 9.30 pagi, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Pantai Bagan Lalang di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sepang, Azrul Faizal Maarif, berkata mayat mangsa masih lengkap berpakaian ditemui terapung berdekatan stesen jana kuasa elektrik berasaskan arang batu, Jimah East Power, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Pengecaman mayat kemudian dilakukan ahli keluarga mangsa yang menunggu di Jeti Sirip Biru, Bagan Lalang, sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi urusan bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.
Mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang Jumaat lalu selepas keluar bersendirian melakukan aktiviti merawai berhampiran rumah api lama, Pantai Bagan Lalang.
Bot gentian kaca dinaiki mangsa ditemui sekumpulan pemancing kira-kira dua kilometer dari Pantai Bagan Lalang.
Sementara itu, anak tiri mangsa, Mohd Amran Abdullah, 45, berkata dia bersyukur mayat bapanya ditemui dan reda dengan ketentuan Allah.
Katanya, sepanjang dua hari pencarian, mereka sekeluarga tidak henti-henti berdoa semoga bapanya ditemui segera.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu, lebih-lebih lagi kepada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari sejak hari kejadian lagi,” katanya.