Jumaat, 8 November 2019 | 8:35pm
Antara paket daging kerbau yang dirampas oleh MAQIS Pahang, di Pelabuhan Kuantan kerana tidak mematuhi syarat import. - Ihsan MAQIS

Daging kerbau import tanpa status halal RM1.5 juta dirampas

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pahang merampas 1,443 karton daging kerbau dari India, di Pelabuhan Kuantan, di sini, semalam.

Pengarah MAQIS Pahang/Terengganu, Nur Syazwina Abdul Somad berkata, daging kerbau seberat 115,447 kilogram itu dianggar bernilai RM1.5 juta.

Katanya, anggota penguat kuasa yang melakukan pemeriksaan rutin pada jam 4 petang itu menemui daging berkenaan yang cuba dibawa masuk ke negeri ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati ia tidak mematuhi syarat import seperti yang ditetapkan MAQIS.

“Malah ia juga gagal mempamerkan logo halal dari badan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada plastik dan kotak pembungkusannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Daging import perlu mematuhi syarat MAQIS kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam keselamatan makanan tempatan.

Berita Harian X