Jumaat, 8 November 2019 | 6:57pm
Timbalan Ketua Polis, Datuk Mazlan Mansor (tengah) pada sidang media selepas menghadiri upacara Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Program LatihanAsas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Bilangan 5 Siri 1/2019 di Pusat Latihan Polis(PULAPOL) Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Polis perlu undang-undang tegas tangani 'mat lajak'

KUALA LUMPUR: Polis memerlukan undang-undang lebih ketat bagi mengekang kegiatan basikal lajak yang dilihat boleh mengundang bahaya kepada ‘mat lajak’ itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya sedang mencari kaedah terbaik untuk mengatasi perkara itu selain menggunakan undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap ‘mat lajak’ serta ibu bapa mereka.

“Pihak polis akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengawal isu berkenaan mengikut alasan dan justifikasi kami.

“Sebagai agensi penguatkuasa, pihak polis memerlukan undang-undang yang ketat bukan sahaja untuk isu basikal lajak, malah isu-isu lain yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta kesejahteraan masyarakat.

“Untuk basikal lajak, perkara itu khususnya berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Justeru kita akan melihat kepada undang-undang yang boleh mengekang isu ini, serta isu-isu sampingan lain yang timbul,” katanya.

Beliau sebelum itu menghadiri upacara Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Program LatihanAsas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Bilangan 5 Siri 1/2019 di Pusat Latihan Polis(PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Kata beliau, pihak polis akan menjalankan kajian dan perbincangan di pelbagai peringkat bagi mencari kaedah terbaik untuk mengatasi isu basikal lajak selain memerlukan undang-undang lebih ketat.

Seramai 170 pelatih Kadet Inspektor yang berjaya menamatkan latihan menyertai perbarisan tamat kursus asas kadet pada upacara perbarisan itu.

Kadet Inspektor Amirul Syfiq Mohd Noor diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan latihan, manakala Kadet Inspektor Nur Fakhira Mat Radzri diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik.

Pada upacara berkenaan, Kadet Inspektor Muhammad Firdaus Ab Aziz diumumkan sebagai Pelatih Latihan Luar Terbaik (Lelaki) dan Kadet Inspektor Siti Najwa Rashid pula diumumkan Pelatih Latihan Luar Terbaik (Wanita).

Berita Harian X