Jumaat, 8 November 2019 | 6:14pm

Keadaan mayat Nazrin tidak seperti mangsa terbakar - Saksi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu keadaan mayat Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, tidak seperti mayat mangsa terbakar lain, ketika ditemui pihak bomba.

Saksi Pendakwaan ke-13, Pegawai Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Tanhoss Ban Agem, 29, berkata, pada kebiasaannya mayat mangsa kebakaran berada dalam keadaan tidak normal seperti melutut atau meniarap.

Beliau yang mempunyai tiga kali pengalaman berdepan mangsa kematian akibat kebakaran, berkata, keadaan itu berbeza dengan mayat Nazrin ketika ditemui di atas lantai di bilik tidur utama kediamannya yang terbakar pada 14 Jun tahun lalu.

“Badan mangsa dalam keadaan terbaring. Biasanya kalau kebakaran membabitkan mangsa, mereka cuba melarikan diri daripada api hingga tidak jumpa laluan keluar, mereka akan mati di situ.

“Keadaan mangsa ini, seperti pendapat saya, seperti dia tidak cuba melarikan dirinya. Kaku dan kejung.


Allahyarham Nazrin Hassan.


Balu Allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar (kanan) hadir perbicaraan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

“Mangsa seperti tidak cuba untuk menyelamatkan dirinya,” katanya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tanhoss memberi keterangan terhadap bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid, adakah kebakaran itu berhampiran dengan mayat mangsa, Tanhoss berkata, kebakaran itu berlaku pada tilam, pada jarak satu kaki (30.48 sentimeter).

Beliau berkata, apa yang dimaksudnya sebagai kaku dan kejung adalah keadaan mayat itu lurus.

Tanhoss berkata, ketika memeriksa mayat Nazrin, beliau nampak kesan terbakar di kepala serta bahan yang terbakar pada dada, luka di bahagian kiri kepala mangsa dan tiga titik kesan cucuk di leher sebelah kiri.

Katanya, beliau boleh nampak kesan luka di kepala mangsa yang dalam dan nampak putih namun tidak pasti sama ada ia lapisan kulit dalam atau tengkorak mangsa.

Beliau juga mengakui nampak darah pada tiga titik kesan cucuk dan rambut mangsa kelihatan basah.

Pada masa sama, Tanhoss berkata, selepas memeriksa nadi dan pernafasan mangsa dan mendapati Nazrin sudah meninggal dunia, beliau ke tingkat bawah dan memaklumkan kepada Samirah bahawa suaminya tidak sedarkan diri.

“Saya lihat keadaan isteri mangsa ketika itu sangat agresif, dia nak rempuh untuk naik ke atas. Tujuan saya untuk dia bertenang. Tertuduh beritahu sendiri dan dia nak tahu suaminya sudah mati ke tidak,” katanya.

Tanhoss berkata, selepas didesak tertuduh untuk memberitahu keadaan suaminya, beliau melihat Samirah menarik nafas.

Beliau turut menunjukkan keadaan Samirah menarik nafas di mahkamah.

Perbicaraan bersambung pada 15 November ini.

Saksi Pendakwaan ke-13, Pegawai Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Tanhoss Ban Agem. - NSTP/Sairien Nafis
Berita Harian X