Rabu, 6 November 2019 | 3:18pm
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kanan) dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

$82 juta Swiss franc masuk akaun peribadi

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ldt (PSI) ketika itu, Tareq Obaid mengarahkan wang berjumlah $82 juta Swiss franc daripada akaun PSI dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Tareq Obaid yang juga Pengasas Bersama PSI membuat arahan itu selepas syarikat berkenaan menerima pindahan dana berjumlah AS$500 juta daripada 1MDB.

Perkara itu timbul apabila peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah merujuk dokumen kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pada sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Merujuk kepada dokumen dalam bentuk e-mel itu, Muhammad Shafee menjelaskan bahawa Tareq mengarahkan pekerjanya untuk memindahkan $82 juta Swiss franc ke akaun peribadinya di RBS Coutts Bank.

Shahrol Azral selaku saksi kesembilan pendakwaan bagaimanapun menjelaskan, beliau tidak tahu mengenai pemindahan wang berkenaan kerana tiada akses ke atas dokumen terbabit.

Jelasnya, sepanjang disoal siasat pihak berkuasa, beliau hanya ditunjukkan perjalanan transaksi wang di peringkat tertinggi, iaitu ke dalam akaun syarikat seperti syarikat Good Star Limited milik ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa entiti milik Aabar BVI.

“Saya tidak pernah ditunjukkan akaun perjalanan wang syarikat usaha sama 1MDB-PSI kerana dalam sosal siasat hanya ditunjukkan ke mana wang itu pergi.

“Ia termasuklah pemindahan AS$500 juta yang dibuat pada 30 September 2009,” katanya.

Malah katanya, sehingga hari ini beliau tidak pernah melihat penyata bank syarikat usaha sama itu.

Terdahulu, Shahrol Azral berkata, Jho Low mengarahkan pindahan wang AS$500 juta daripada 1MDB kepada PSI dilakukan secepat mungkin.

Ketika dicadangkan Muhammad Shafee bahawa Jho Low membuat arahan itu kerana 1MDB diberikan masa sekurang-kurangnya sembilan bulan bagi menjawab sama ada bersetuju atau tidak untuk memberi pinjaman kepada PSI, saksi itu menjawab, “tidak setuju”.

Berita Harian X