Rabu, 6 November 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Mayat lelaki ditemui dengan kesan tetakan

KULIM: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetak di kepala di dusun durian miliknya di Junjung, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner, Sapii Ahmad, berkata mayat lelaki berusia 50 tahun itu ditemui anaknya di dusun terbabit pada 7.30 malam.

“Mangsa dikatakan pergi ke dusunnya pada pagi semalam dan sehingga petang tidak balik ke rumah.

“Anak mangsa pergi mencarinya di dusun itu sebelum mendapati mangsa terbaring dengan kesan tetak di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat sebilah parang dijumpai berdekatan dengan mangsa ketika mayat mangsa ditemui.

“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki warga negara asing berusia lingkungan 40-an yang juga pekerja mangsa.

“Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dipanggil untuk mengesan suspek namun tidak berjaya kerana suspek dipercayai sudah melarikan diri,” katanya.

Sapii berkata, suspek sudah bekerja sekitar dua tahun dan tinggal di dalam bangsal di dusun berkenaan.

Katanya, motif pembunuhan masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X