Selasa, 5 November 2019 | 5:16pm
TERTUDUH, Mohamad Khairin Safwan diiringi polis di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Januari lalu. - Foto NSTP/Imran Makhzan
TERTUDUH, Mohamad Khairin Safwan diiringi polis di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Januari lalu. - Foto NSTP/Imran Makhzan

Pelajar IPT didakwa cabul kanak-kanak tujuh tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Khairin Safwan Khairul Azman, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Nooriah Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Khairin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan dengan meraba punggung mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Losong, Kampung Losong Megat Hussein, di sini, kira-kira jam 5 petang pada 25 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Sebaik pengakuan tertuduh direkodkan, Nooriah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X