Ahad, 3 November 2019 | 3:41pm
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) dibantu pegawai Imigresen (kanan) selepas menyorok di kawasan semak ketika serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis

PATI sanggup gadai nyawa elak ditahan Imigresen

SUNGAI BULOH: Sanggup menggadai nyawa menyeberangi lebuh raya, terjun ke dalam sungai, menyorok di celah pokok pisang, berpura-pura pengsan, malah ada yang cuba menyerang penguat kuasa Jabatan Imigresen.

Itu antara tindakan berani pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan diri daripada ditangkap ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen di tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh, di sini hari ini.

Tapak semaian itu pertama kali diserbu Jabatan Imigresen Selangor hari ini, selepas risikan selama seminggu.

Pihak berkuasa berkenaan mendapati kehadiran ramai warga asing di lokasi itu ketika menjalankan operasi di kawasan berhampiran, sebelum ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi yang diketuai Ketua Operasi Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Rahmat Abdul Manap, berkata seramai 32 PATI termasuk lima kanak-kanak berusia setahun hingga 12 tahun ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Semua PATI yang ditahan adalah warganegara Indonesia membabitkan 12 lelaki dewasa, 15 wanita dewasa berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun selain tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan melanggar syarat pas.

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis

“Semua yang ditahan ialah pekerja tapak semaian rumput yang dipercayai tinggal di situ lebih enam bulan. Ada juga berkeluarga mempunyai isteri dan anak. Mereka dibawa ke pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohamad Rahmat berkata, ketika serbuan dijalankan, pihaknya mendapati ramai PATI sedang bekerja di tapak semaian terbabit bertempiaran lari.

“Tempat ini agak luas dan terbuka. Jadi laluan dan peluang melarikan diri besar. Ada bergadai nyawa menyeberangi lebuh raya. Ada meloloskan diri melalui sungai yang luas. Ada sempat ditahan. Ada yang tak sempat.

“Ada PATI yang agresif cuba menyerang dan menumbuk anggota, namun berjaya dipatahkan. Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki berusia awal 30-an itu tidak mempunyai pas atau permit sah,” katanya.

Mohamad Rahmat berkata, pihaknya juga mengesan seorang PATI yang menggunakan ‘walkie talkie’ dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, komuniti itu turut mengusahakan kantin atau kedai untuk memudahkan mereka membeli barang keperluan harian.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan majikan atau pemilik tapak semaian itu, selain merujuk pihak berkaitan sama ada operasi dan tapak itu sah atau sebaliknya, memandang tiada majikan di tapak semaian ketika serbuan.

“Maklumat awal yang kami dapati, ada kawasan tertentu di sini dimiliki majikan tertentu. Mungkin lebih daripada seorang majikan yang mengusahakan tapak semaian rumput ini.

“Siasatan terhadap majikan pula dijalankan mengikut Seksyen 56 (1)(d), iaitu membenarkan atau melindungi PATI dan menggaji PATI,” katanya.

PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis
PENDATANG asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan tapak semaian bersebelahan Plaza Tol Sungai Buloh. - Foto Sairien Nafis

Berita Harian X