Khamis, 31 Oktober 2019 | 2:00pm
MAHKAMAH Majistret, Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan kepada tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23, atas kesalahan mengugut dan mencederakan warga Indonesia menggunakan pisau. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
MAHKAMAH Majistret, Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan kepada tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23, atas kesalahan mengugut dan mencederakan warga Indonesia menggunakan pisau. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Pekerja salun dipenjara 16 bulan ugut rakan serumah

KUALA TERENGGANU: Pekerja salun kecantikan yang berdepan pertuduhan mengugut dan mencederakan warga Indonesia yang juga rakan serumahnya menggunakan pisau dijatuhi hukuman penjara 16 bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23, mengaku salah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah, dan Seksyen 324 KK kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke leher mangsa, Nurbati, 44, di rumah sewa mereka di Jalan Balik Bukit, di sini, jam 8.18 malam pada 29 Oktober 2018.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 506 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 324 KK berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi setiap pertuduhan sebelum memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh ada menegur sikap mangsa yang tidak mahu menjaga kebersihan dapur di rumah sewa mereka.

Tertuduh gagal mengawal perasaan marahnya sebelum mengambil pisau lalu mengacukan ke leher mangsa selain turut menoreh lengan kiri wanita itu menggunakan senjata sama.

Berita Harian X