Rabu, 30 Oktober 2019 | 1:03pm

Mayat Muhammad Danial ditemui 50 meter dari tempat kejadian

KUALA TERENGGANU: Mayat Muhammad Danial Danish Mohd Jasmin, 14, yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, Kuala Nerus semalam ditemui jam 11.02 pagi tadi.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu ditemui terapung kira-kira 50 meter dari tempat kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan air.

Penemuan itu adalah hasil bantuan anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya mengesan lokasi mangsa sebelum mayatnya timbul.

Mayat pelajar tingkatan dua itu kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mengesahkan mengenai penemuan mayat berkenaan.

“Kita mendapat petunjuk kedudukan mangsa selepas dikesan anjing berkenaan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua anggota yang terbabit dalam operasi SAR yang dilakukan selama dua hari bermula semalam,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.45 petang semalam, Muhammad Danial Danish dari Kampung Tebauk dilaporkan lemas ketika mandi bersama empat rakan di sungai berkenaan selepas dihanyutkan arus.

MAYAT Muhammad Danial Danish lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik semalam ditemui terapung pada jarak 50 meter dari tempat kejadian. - Foto Zaid Salim
MAYAT Muhammad Danial Danish lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik semalam ditemui terapung pada jarak 50 meter dari tempat kejadian. - Foto Zaid Salim
Berita Harian X