Rabu, 30 Oktober 2019 | 10:48am
ANJING Pengesan Unit K9 JBPM Jalan Kelang Lama melakukan operasi SAR mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik yang memasuki hari kedua. - Foto Zaid Salim
ANJING Pengesan Unit K9 JBPM Jalan Kelang Lama melakukan operasi SAR mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik yang memasuki hari kedua. - Foto Zaid Salim

Pasukan mencari Muhammad Danial belum temui sebarang petunjuk

KUALA TERENGGANU: Dua anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Muhammad Danial Danish, 14, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Seberang Tuan Chik, di sini, hari ini.

Operasi hari kedua itu disambung hari ini bermula jam 7 pagi selepas ditangguhkan jam 10.30 malam tadi.

Setakat ini usaha mencari dan menyelamat mangsa tidak menemui sebarang petunjuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pencarian hari ini menggunakan khidmat K9 JBPM Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK 1) Fadzil Arshad bersama tiga anggota, termasuk pegawai.

“Kita berharap khidmat anjing pengesan dapat membantu dalam operasi hari ini,” katanya.

Selain 27 anggota JBPM, pencarian hari ini turut membabitkan 13 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (tiga), Unit Amal (lapan) dan seorang wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu.

Rozizah berkata, radius pencarian di permukaan air diperluaskan sehingga jarak 1.5 kilometer (km) ke muara dan 1.5 km ke hulu.

“Penyelaman di beberapa kawasan turut dilakukan oleh 13 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuala Terengganu dan Kuala Berang,” katanya.

Berita Harian X