Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:55am
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa tersepit, maut selepas terlibat dalam satu kemalangan, di Jitra. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua mangsa tersepit, maut selepas terlibat dalam satu kemalangan, di Jitra. - Foto ihsan bomba

Dua lelaki maut kereta rempuh pokok

JITRA: Anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan dua lelaki yang maut selepas kereta mereka naiki merempuh pokok dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Irfan Rosli dan Mohd Aswat Mokhtar masing-masing berumur 23 tahun menaiki PROTON Satria Neo meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah akibat kemalangan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.44 pagi.

Susulan daripada itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra tiba di lokasi jam 2.51 pagi.

“Setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki mereka yang terbabas dan melanggar pokok.

“Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan anggota mengeluarkan mereka menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Adnan Ahmad bersama lapan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 3.51 pagi,” katanya.

Berita Harian X