Selasa, 29 Oktober 2019 | 7:52pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Aswadi Alias

Najib nasihat tidak perlu penilaian kedua

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menasihatkan supaya penilaian kedua tidak dibuat terhadap aset PetroSaudi International Ltd (PSI) yang menjalinkan pelaburan usaha sama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya, berkata penilaian aset terbabit dibuat oleh badan penilai bebas, Edward L Morse.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan, mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB menyatakan mereka tidak yakin dengan penilaian aset terbabit.

“Saya kemudian menemui Najib pada 16 Oktober 2009 untuk mendapatkan nasihatnya berikutan kebimbangan Ahli Lembaga Pengarah mengenai nilai aset milik PetroSaudi (Cayman) Holdings yang dinilai oleh firma Edward Morse, kerana mereka mengesyaki ia tidak sebanyak yang didakwa.

“Aset itu dikatakan disuntik PSI dalam perjanjian usaha sama pelaburan dengan 1MDB, bernilai AS$2.2 bilion,” katanya.

Bagaimanapun mengikut saksi itu, Najib menasihatkan supaya penilaian kedua tidak perlu dilakukan oleh firma terbabit.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, kemudian meminta Shahrol Azral menunjukkan bukti berkaitan nasihat yang diberikan bekas Perdana Menteri itu dalam Minit Mesyuarat 1MDB bertarikh 16 Oktober 2009.

Shahrol Azral menyatakan ia tiada dinyatakan dalam Minit Mesyuarat itu dan kemudian bersetuju dengan peguam bahawa Najib tidak menggunakan perkataan yang menghalang 1MDB daripada meneruskan rancangan mereka untuk mendapatkan penilaian kedua.

Sebaliknya, beliau bersetuju yang Najib hanya memberi nasihatnya.

Mengikut saksi, beliau percaya bahawa Najib tidak mahu mereka melakukan penilaian kedua.

Muhammad Shafee: Najib tidak pernah memberitahu anda untuk tidak melakukan penilaian kedua. Dia hanya menyatakan pendapatnya.

Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju, itu bukan apa yang saya fikirkan.

Apa yang saya faham daripada kenyataan itu adalah penilaian kedua tidak diinginkan.

Muhammad Shafee: Namun, adakah beliau menyatakan bahawa beliau tidak mahu anda melakukan penilaian kedua?

Shahrol: Tidak, beliau tidak ada menyatakan itu.

Sementara itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low memang mengetahui apa yang Najib hendak katakan dalam Minit Mesyuarat 1MDB.

Ia adalah kerana ahli perniagaan itu sendiri yang menyediakan Minit Mesyuarat terbabit.

Shahrol Azral berkata demikian ketika dirujuk Muhammad Shafee dengan Minit Mesyuarat pada 16 Oktober 2009 di mana Najib adalah Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

Berita Harian X