Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:11pm
Kenderaan yang dinaiki tiga tertuduh iaitu dua ADUN G Saminathan, P Gunasekaran, dan S Chandru dari Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh hari ini. - Foto BERNAMA
Kenderaan yang dinaiki tiga tertuduh iaitu dua ADUN G Saminathan, P Gunasekaran, dan S Chandru dari Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh hari ini. - Foto BERNAMA

CEO didakwa memiliki item berkaitan LTTE

ALOR GAJAH: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S Chandru, didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Chandru, 38, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE, di dalam sebuah telefon bimbit, di sebuah rumah di Kampung Bukit Balai, di sini, jam 10.20 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Perbuatan itu dilakukan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak item itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, berkata tiada penawaran jaminan kepada tertuduh mengikut Bab VIA (6A) atas kesalahan berkaitan keganasan.

Tertuduh diwakili tiga peguam diketuai Ram Karpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Bagaimanapun, Ahmad Sazali dalam penghakimannya menetapkan 16 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, Chandru bersama ADUN Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60; didakwa atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), di negeri ini, November tahun lalu.

Berita Harian X