Selasa, 29 Oktober 2019 | 11:33am

Guru didakwa memiliki item LTTE

SEPANG: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan memiliki barangan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimana tertuduh, R Sundram, 52, yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Fizik hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said.

Mengikut kertas pertuduhan, Sundram didakwa memiliki barangan yang berkaitan dengan LTTE Taman Telok, Telok Panglima Garang, pada 12 Oktober lalu, jam 2.30 petang.

Atas kesalahan itu, tertuduh berbaju kemeja T warna merah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130JB (l)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucutkan hak barang yang dirampas.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasidi, manakala Sundram diwakili peguam, R S Kirthiraj.

Terdahulu, Kirthiraj memohon mahkamah merekodkan yang pihaknya menerima arahan daripada Sundram untuk memfailkan permohonan jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai penyakit kencing manis.

Bagaimanapun, Azlina membantah atas alasan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak membenarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh sebutan semula untuk mendapatkan laporan pakar (mengenai barangan yang dirampas) dan keizinan bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 16 Disember depan dan mengarahkan hak rawatan tertuduh diberikan dengan sewajar.

Guru SMK Telok Panglima Garang, R Sundram, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas tuduhan memiliki barangan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Guru SMK Telok Panglima Garang, R Sundram, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas tuduhan memiliki barangan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X