Sabtu, 26 Oktober 2019 | 5:52pm
Anggota Bomba membantu mangsa kemalangan yang membabitkan empat kenderaan berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Jalan Mersing-Endau, Mersing. - NSTP/Ihsan Bomba
Anggota Bomba membantu mangsa kemalangan yang membabitkan empat kenderaan berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Jalan Mersing-Endau, Mersing. - NSTP/Ihsan Bomba

Seorang maut, 10 cedera nahas 4 kenderaan di Mersing

MERSING: Seorang wanita maut, manakala 10 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Jalan Mersing-Endau di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Syarifah Norhamimie Syed Mohd, 40, manakala dua yang cedera daripada kenderaan sama ialah Khairul Sham Arifin, 53 dan Arham Danial Khairul Sham, 11.

Dalam nahas jam 12.50 tengah hari tadi, kemalangan membabitkan PERODUA Bezza, dua Toyota Vios dan sebuah bas.

Kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Jalan Mersing-Endau, Mersing. - NSTP/Ihsan Bomba
Kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Hutan Lipur Gunung Arong, Jalan Mersing-Endau, Mersing. - NSTP/Ihsan Bomba

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Amir Hamzah Aris, berkata dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing serta Endau dengan kekuatan 13 anggota dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 12.53 tengah hari tadi.

“Seorang maut dan dua mangsa yang cedera adalah daripada PERODUA Bezza, lapan mangsa yang cedera daripada dua Toyota Vios dan seorang lelaki dewasa cedera daripada bas yang terbabit kemalangan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X