Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:13pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto BERNAMA

Selepas bom polis temui 36 peluru

KUALA LUMPUR: Polis menemui 36 butir peluru dalam sebuah rumah di Muar, Johor susulan penahanan tiga suspek yang ditahan bersama satu objek, dipercayai bom tangan dalam sebuah kereta di persimpangan empat lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kesemua peluru itu ditemui dalam kediaman wanita berusia 57 tahun yang ditahan bersama dua lelaki, masing-masing berusia 19 dan 33 tahun terbabit.

“Pemeriksaan ke atas kediaman wanita terbabit dibuat susulan soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek.

“Kita menemui 36 butir peluru 0.38 Caliber, sebilah parang dan sepasang gari dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya lagi, siasatan lanjut polis turut mendapati salah seorang suspek lelaki yang ditahan itu adalah penjenayah dikehendaki untuk dua kes bunuh, masing-masing di Shah Alam, Selangor dan Kuantan, Pahang.

“Kita masih jalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya selain memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung hubungan antara ketiga-tiga suspek serta pembabitan dengan gangsterisme.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata semua suspek ditahan di persimpangan empat lampu isyarat Serkam-Merlimau-Jasin menghala ke Melaka, pada jam 12 tengah hari.

Katanya, semasa pasukan pegawai dan anggota polis menghampiri kereta hitam dinaiki semua suspek, suspek lelaki yang memandu kereta cuba bertindak agresif bagi mengelak ditahan, bagaimanapun semua mereka akhirnya ditangkap.

Hasil pemeriksaan di bahagian but kereta, polis menemui dua parang dan dua kayu rotan, selain satu objek yang dipercayai bom tangan di bawah kerusi pemandu.

Mohd Nor Yhazid berkata, bom tangan yang ditemui diambil Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dan diletupkan di satu kawasan lapang di dalam ladang kelapa sawit di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 atau Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Berita Harian X