Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:35pm

Mangsa kemalangan parah disahkan mati

JOHOR BAHRU: Seorang mangsa kemalangan sebuah kereta di Kilometer 1.7 Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini yang parah, disahkan maut ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Ia menjadikan keseluruhan lima mangsa maut dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Empat mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Kenny Law Chin Shyuan, 16, serta Liew Hong Jun, Danny Law Yen Pin dan Ng Qi En, masing-masing berusia 18 tahun. Semua mereka adalah penumpang kereta.

Bagaimanapun, identiti pemandu kereta iaitu lelaki yang meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, belum diperoleh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dinaiki lima mangsa itu dari arah pusat bandar menghala ke Skudai.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta itu terbabas melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh bas yang menghala ke pusat bandar dari Skudai.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa berpusing dan terlanggar pagar Istana Besar Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, kemalangan mengakibatkan empat remaja lelaki iaitu tiga berusia 18 tahun dan seorang 16 tahun maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta berkenaan parah dan dihantar ke HSA untuk rawatan lanjut.

“Pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat dihantar ke HSA untuk bedah siasat hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Rafie Ahmad Sareng, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 pagi dan mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi.

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.7 Lebuhraya Sultan Iskandar, Johor Bahru.
Kemalangan sebuah kereta di Kilometer 1.7 Lebuhraya Sultan Iskandar.
Lima mangsa maut dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi tadi. - Ihsan Bomba
Berita Harian X