Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:47am
KEADAAN kenderaan yang dipandu Chatnam Brendan Joseph selepas terbabit nahas di Kilometer 72.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di KLuang, malam semalam. - Foto ihsan PDRM

Warga Australia maut nahas

bhnews@bh.com.my

KLUANG: Seorang lelaki warga Australia maut akibat kecederaan parah dialaminya selepas terbabit nahas di Kilometer 72.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini kira-kira jam 9.25 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismai, berkata mangsa, Chatnam Brendan Joseph,32, yang memandu berseorangan dipercayai dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori dengan muatan kayu keluar dari Hentian Rehat & Rawat (R&R) Machap dan menyusuri laluan kiri.

“Mangsa yang berada di belakang cuba mengelak ke kiri jalan namun melanggar bahagian belakang lori berkenaan menyebabkannya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, mangsa kemudiannya di rujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat yang akan dilakukan hari ini.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diharap tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Shalneeraj Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Katanya, berikutan itu sebuah jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan.

“Mangsa didapati tersepit dalam kenderaan dipandunya jenis Hyundai Starex VK 9501. Sebaik berjaya dikeluarkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan kira-kira jam 11.03 malam,” katanya.

Berita Harian X