Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:45am
PETER Umbuas menunjukkan gambar fotofit suspek yang dikenali sebagai Hen Mok Cheen@Ah Chee, 39, bagi membantu siasatan dalam kes pecah rumah di sekitar daerah ini, ketika mengadakan sidang media. - Foto BERNAMA

Ketua geng pecah rumah diburu

TAWAU: Polis sedang giat mengesan dan memburu seorang lelaki dipercayai ketua satu geng pecah rumah yang bergerak aktif di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata lelaki dikenali sebagai Heng Mok Cheen @ Ah Cheen dari Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun itu mempunyai beberapa rekod jenayah.

Katanya, identiti lelaki itu dikenal pasti susulan penahanan lapan ahli sindiket berkenaan yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah membabitkan membabitkan kerugian lebih RM100,000 melalui Ops Pintu, kelmarin.

“Dengan penahanan kesemua suspek, kita percaya dapat menyelesaikan lebih 10 kes membabitkan pecah rumah, peti besi dan kecurian sarang burung di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Daerah (IPD) Tawau, di sini semalam.

Beliau berkata, sebelum itu satu laporan dibuat oleh seorang pengadu berhubung kejadian pecah rumah pada 21 September lalu selepas kediamannya dipecah masuk pada waktu malam.

Bertindak atas maklumat itu, katanya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menangkap seorang suspek lelaki Cina di kawasan Perindustrian Cowei Bay, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Susulan penahanan itu, tujuh lagi ahli sindiket berkenaan berjaya diberkas selain beberapa peralatan pecah rumah turut dirampas termasuk sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) dan tiga kereta dipercayai digunakan dalam beberapa kejadian pecah rumah di daerah ini.

“Tiga daripada suspek juga didapati positif dadah jenis Methapetamine dan semua suspek direman untyk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X