Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:01am

Singapura tahan rakyat Malaysia cuba seludup dadah

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 34 tahun ditahan pihak berkuasa republik ini susulan penemuan kira-kira 1,041g dadah jenis syabu dan 198 biji pil ecstasy dalam kotak penapis air di ruang penyimpanan kereta dipandunya.

Dalam kejadian malam semalam, bertindak atas maklumat disalurkan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, suspek diperiksa oleh petugas imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Woodlands.

Menurut laman web CNB, susulan penahanan itu, pihaknya menahan seorang lagi suspek berusia 47 tahun yang juga warga Singapura di tempat kerjanya d Jalan Sultan.

“Sejumlah kira 25 gram syabu ditemui dalam kereta suspek, selain beberapa straw heroin,” katanya.

Pegawai CNB kemudian memeriksa tempat persembunyian suspek berumur 47 tahun itu di Geylang yang membawa penemuan 8 gram ketamine, 622 gram syabu, 1,572g kanabis, 296 biji pil ecstasy dan 1,703 biji pil Erimin-5.

“Seorang lelaki warga Singapura yang disyaki pengedar dadah turut ditahan di premis berkenaan. Ia disusuli serbuan di Tampines Avenue 9, seterusnya meembawa kepada penemuan 11 gram syabu, 61 gram kanabis, 10 biji pil ecstasy dan 11 bijil pil Erimin-5.

“Turut ditemui 14 gram ketamine, 51 gram syabu, sembilan bijil pil ecstasy’ dan 23 bijil Erimin-5 dalam kereta milik salah seorang suspek di kediaman berkenaan. Keseluruhannya, nilai dadah dirampas mencecah S$223,000 (RM685,447). - BERNAMA

Berita Harian X