Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:13am
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

LTTE: Harap keluarga tahanan bersabar - KPN

KUALA LUMPUR: Keluarga tahanan yang disyaki ada hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) diminta bersabar dan memberikan ruang kepada polis menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan setiap tahanan itu dijaga dalam keadaan baik sepanjang siasatan berlangsung.

“Pada masa ini pasukan penyiasat sedang mempercepatkan siasatan untuk menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara sama ada untuk menolak atau mendakwa mereka di mahkamah.

“Justeru saya meminta keluarga dan semua pihak yang terbabit supaya bersabar sehingga kami dapat melengkapkan kertas siasatan,” katanya selepas menghadiri majlis Malam Anugerah Sukan PDRM 2018 di sini, malam tadi.

Katanya, beliau bersimpati dengan perayaan Deepavali yang semakin hampir namun umum harus mengetahui bahawa tindakan pihak polis menahan mereka adalah untuk keperluan kepentingan dan keselamatan.

“Saya jamin keadaan mereka sentiasa dijaga dan kami akan memberi hak segala yang dibenarkan dalam undang-undang pada keluarga untuk melawat, kita akan berikan kemudahan itu,” katanya.

Pada masa ini polis masih menjalankan siasatan terhadap 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan (ADUN) DAP masing-masing seorang dari Melaka dan seorang dari Negeri Sembilan yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Berita Harian X