Selasa, 22 Oktober 2019 | 11:54pm
MAYAT peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Nasir Alias, 57 yang maut selepas melanggar kera hutan di Kilometer 23.6 Jalan Bestari Jaya-Tanjung Malim jam 1.30 petang tadi. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh

Peneroka FELDA maut motosikal langgar kera

HULU SELANGOR: Seorang peneroka FELDA Sungai Tengi Selatan di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar kera dalam nahas di Kilometer 23.6 Jalan Bestari Jaya- Tanjung Malim dekat sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Nasir Alias, 57, yang berasal dari Jalan Mangga, FELDA Sungai Tengi Selatan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari pekan Tanjung Malim ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Abd Rahman berkata, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss berseorangan ketika kejadian.


KERA ditemui mati selepas dilanggar peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Nasir Alias,57 yang juga maut di Kilometer 23.6 Jalan Bestari Jaya- Tanjung Malim jam 1.30 petang tadi. NSTP/Md Fuzi Abd Lateh

“Secara tiba-tiba seekor kera melintas di laluan yang digunakan mangsa menyebabkan berlaku perlanggaran itu.

”Mangsa terjatuh dan mati di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian hadapan kiri.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X