Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:29pm
JALAN Duta berhampiran Istana Negara menghala ke Lake Garden berhampiran Parlimen telah ditutup kerana jalan telah bertukar menjadi sungai.

Beberapa jalan di ibu negara 'tenggelam'

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang tadi menyebabkan sebahagian laluan utama di sekitar ibu negara dinaiki air termasuk kedua-dua arah Jalan Duta, Jalan Tuanku Abdul Halim dan laluan Lebuhraya Mahameru menuju ke Jalan Parlimen.

Berdasarkan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), laluan berkenaan dinaiki air hampir 2 meter dan tidak dapat digunakan sehingga jam 8 malam tadi.

Dalam kejadian banjir berkenaan tiga kenderaan dilaporkan terperangkap dan kedua-dua terowong di Jalan Duta menuju ke Lebuhraya Mahameru terpaksa ditutup akibat dinaiki air.


JALAN Duta berhampiran Istana Negara menghala ke Lake Garden berhampiran Parlimen telah ditutup kerana jalan telah bertukar menjadi sungai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya ketika dihubungi, berkata pihaknya menempatkan anggota yang mencukupi di lokasi banjir bagi mengawal lalu lintas.

Sehingga jam 8.30 malam tadi keadaan trafik dilaporkan terkawal selepas lokasi dinaiki air mulai surut.

"Hujan lebat yang mengakibatkan beberapa laluan utama dinaiki air menyebabkan berlakunya kesesakan lalu-lintas hampir tiga jam namun pihak polis trafik Kuala Lumpur dapat mengawasi keadaan serta melencongkan laluan bagi memastikan aliran trafik dapat digerakkan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan beberapa lagi lokasi lain turut dinaiki air.

Antaranya adalah Kampung Datuk Keramat; Bulatan Segambut; Jalan U-Thant; Jalan Lembah Ledang, Bukit Damansara serta pintu masuk ke Universiti Malaya.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Berita Harian X