Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:08pm
Najib menghadiri perbicaraan bagi mengikuti kes SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Duit masuk atas arahan Jho Low, Najib tidak tahu - Peguam

KUALA LUMPUR: Deposit berjumlah RM42 juta yang dimasukkan dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada tahun 2014 dan 2015 adalah atas arahan ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Fakta mengenai wang terbabit yang dimasukkan dalam akaun Najib pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 langsung tidak dipertikaikan oleh pembelaan.

Bagaimanapun, peguam bela Harvinderjit Singh yang mewakili Najib dalam hujahannya, menimbulkan persoalan berkaitan tujuan ia didepositkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu.

“Pembelaan meletakkan bahawa transaksi itu dilakukan atas arahan Jho Low. Disebabkan itu, wang dimasukkan (deposit) ke dalam akaun Najib pada dua tarikh itu saja,” katanya.

Harvinderjit berkata demikian pada prosiding hujahan kes SRC International di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam itu seterusnya berhujah, penyertaan Najib dalam keputusan kerajaan untuk memberikan Jaminan Kerajaan kepada SRC bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada 2011 dan 2012 tidak menimbulkan sebarang kaitan dengan wang RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya.

Jelas peguam itu, transaksi membabitkan RM42 juta dibuat tanpa pengetahuan Najib dan sebahagian besar bukti sepanjang perbicaraan meletakkan seseorang memberi arahan untuk tujuan dan kepentingan sendiri.

“Ia adalah bukti munasabah dan boleh diterima bahawa Najib tidak melakukan sebarang transaksi (deposit), RM42 juta yang dideposit atas arahan individu lain.

“Pendakwaan perlu membuktikan Najib menggunakan kedudukannya untuk menerima ganjaran itu sebagai berniat jahat,” katanya.

Tambahnya, kriteria dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) gagal dibuktikan pendakwaan ke atas Najib.

Sehubungan itu, Harvinderjit berkata, anak guamnya itu sewajarnya dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri berikutan pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie.

Berita Harian X