Isnin, 21 Oktober 2019 | 9:44pm
PEGUAM DAP, Ram Karpal Singh (dua dari kiri) ketika hadir menfailkan pemohonan penahanan salah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap ahli DAP yang ditahan dibawah akta SOSMA berkaitan pengganas LTTE. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

5 individu termasuk 2 ADUN terbabit LTTE fail habeas corpus

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama tiga individu yang ditahan kerana disyaki ada hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) memfailkan permohonan habeas corpus (mencabar penahanan) di sini, semalam.

Mereka termasuk ADUN Gadek, G Saminthan; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama tiga individu lain iaitu S Chandru, V Suresh Kumar serta S Arivainathan.

Habeas corpus itu difailkan di kaunter pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi melalui peguam, Ramkarpal Singh, kira-kira jam 5 petang semalam bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam pemohon itu, kelima-lima individu berkenaan menamakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Inspektor Jasveer Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan itu juga menyatakan bahawa notis di bawah Seksyen 5(1)a Akta SOSMA 2012 bertarikh antara 10 dan 12 Oktober 2019 yang dikeluarkan responden kedua (Jasveer) serta dilaksanakan di bawah seliaan responden pertama (Ayob Khan) di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Kuala Lumpur, adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Antara alasan mencabar penahanan termasuk melanggar prinsip hak kesamarataan undang-undang selain tidak mempunyai akses kepada peguam ketika kejadian.

Ramkarpal, ketika ditemui media selepas memfailkan permohonan itu, berkata penahanan terbabit mengganggu kebebasan lima individu berkenaan.

“Hanya sekali saja kami bertemu di Bukit Aman bagi mendapatkan tandatangan afidavit masing-masing. Kelima-lima individu itu berada dalam keadaan baik dan kami yakin permohonan ini berjaya,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. Seramai 12 individu termasuk dua ADUN dari DAP ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk LTTE, yang disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

Berita Harian X