Isnin, 21 Oktober 2019 | 6:42pm

Perjanjian usaha sama 1MDB, PSI hanya tandatangan di pejabat saja - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Upacara menandatangani perjanjian usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) yang kononnya akan disaksikan Raja Arab Saudi, Almarhum Abdullah Abdulaziz Al-Saud, tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, perjanjian usaha sama itu hanya ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, di pejabatnya mewakili 1MDB.

Bagi pihak PSI pula, ia ditandatangani CEO syarikat, Tareq Obaid, bagaimanapun tidak diketahui di mana ia dilakukan.

Alasan mengapa ia ditandatangani tanpa sebarang upacara rasmi, ialah berikutan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mahukan supaya ia (usaha sama) dipercepatkan.

Shahrol Azral membuat pendedahan itu ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, apa yang pasti ialah Tareq tidak menandatangani perjanjian itu di ibu negara.

Dalam keterangannya sebelum ini, Shahrol Azral memberitahu mahkamah, Najib mahukan perjanjian usaha sama itu dilaksanakan dengan cepat.

Beliau turut menyatakan bahawa mengikut perancangan, perjanjian usaha sama itu akan disaksikan Raja Abdullah.

Menurut Shahrol Azral, pada 28 September 2009, terdapat perancangan supaya Najib dan Abdullah menyaksikan upacara itu di Putrajaya, bagaimanapun kedua-dua pemimpin itu tidak dapat hadir.

Disoal Muhammad Shafee bilakah beliau mengetahui mengenai perkara itu, Shahrol menjawab, “Saya hanya mengetahui sehari sebelum atau pada hari sama majlis berlangsung.”

“Saya tidak tahu sebelum itu sebab saya bukan bekerja di Pejabat Perdana Menteri...Saya tidak jaga jadual Najib,” katanya.

Berita Harian X