Isnin, 21 Oktober 2019 | 5:23pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Saya tidak digalakkan jadi 'busy body' - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak digalakkan untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai hal ehwal urusan syarikat pelaburan strategik itu.

Beliau juga hanya perlu melaksanakan segala nota maklumat dan pelan tindakan yang diberikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dan tidak melangkaui arahan terbabit.

Nota maklumat dan pelan tindakan itu adalah daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Jho Low, yang diberikan tanggungjawab untuk merancang urusan 1MDB.

Shahrol Azral, yang memberikan keterangan selaku saksi kesembilan pendakwaan, memberitahu Mahkamah Tinggi sepanjang berkhidmat di 1MDB, beliau tidak digalakkan untuk mengetahui dengan lebih lanjut pelan tindakan yang diberikan kepadanya.

“Sebenarnya, agak susah untuk menyatakan sama ada terdapat halangan, tetapi sepanjang saya menjadi CEO 1MDB, saya sentiasa merasakan yang saya tidak digalakkan menjadi ‘busy body’ (penyibuk).

“Saya masih ingat dalam satu majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 2011 atau 2012, pada masa itu saya berdiri sebelah Najib.

“Saya tanya PM (Najib) sama ada saya boleh cakap dengan PetroSaudi International Ltd (syarikat usaha sama 1MDB), untuk mendapatkan balik wang, Najib kata: “cakap dengan Jho Low”,” katanya.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan bahawa tiada pihak yang menghalangnya daripada mengetahui dengan lebih lanjut (rancangan dan pelan tindakan 1MDB).

“Jadi, apabila Jho Low menyatakan kepada saya, ini adalah apa yang perlu dilakukan dan kena pastikan orang Arab gembira, saya ambil dengan niat baik bahawa ini adalah tanggungjawab saya dan syarikat,” katanya.

Menurut saksi, beliau mengambil pendirian itu walaupun sepanjang bekerja dalam ‘Pasukan Najib’, ia bermakna semua orang bekerja dalam keadaan sulit dan terasing dengan kemungkinan tidak mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku.

Ditanya Muhammad Shafee, siapa yang mengaturkan program silo (setiap jabatan bergerak secara sulit dan rahsia), Shahrol Azral berkata beliau berinteraksi dengan Jho Low.

“Pada ketika itu, saya percaya bahawa tanggungjawab menguruskan secara terperinci diberikan kepada Jho Low oleh Najib, jadi Najib tidak perlu bimbang dengan setiap pelan tindakan.

“Dalam hal ini, Jho Low meneliti dan membuat perancangan, kemudian memberikan pelan tindakan dan nota maklumat kepada kami untuk disempurnakan... Dia sangat pandai dalam membuat pengaturan,” katanya.

Ditanya sama ada Najib dengan itu berkemungkinan tidak mengetahui setiap rancangan dengan lebih lanjut, saksi berkata beliau tidak boleh memberikan jawapan sama ada bekas perdana menteri itu tahu atau tidak.

“Saya tidak tanya melebihi apa yang diberikan kepada saya,” katanya.

Berita Harian X