Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:06pm
TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy hadir di Ibu Pejabat Bukti Aman bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan dua artikel disiarkan portal dalam talian dan kes berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto BERNAMA
TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy hadir di Ibu Pejabat Bukti Aman bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan dua artikel disiarkan portal dalam talian dan kes berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto BERNAMA

Ramasamy beri keterangan 4 jam

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, memberi keterangan hampir empat jam bagi membantu siasatan dua artikel disiarkan portal dalam talian dan kes berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Keterangan yang diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini, membabitkan artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ dan ‘Who am I, peacemaker or terrorist’ masing-masing disiarkan Malaysia Gazette dan Malaysiakini selain kes LTTE.

Ramasamy berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu dan yakin kebenaran serta keadilan akan ditegakkan.

“Saya beri keterangan mengenai artikel yang diterjemah dalam Malaysia Gazette, saya disoal beberapa isu mengenai perkara itu.

“Saya tiada apa-apa mahu disembunyikan. Sebenarnya, saya tak setuju dan mempersoalkan cara terjemahan portal itu yang dilihat sedikit seleweng.

“Kemudian, saya beri keterangan berhubung artikel Malaysiakini dan beberapa klip video tular mengaitkan saya dan isu LTTE,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ramasamy ditemani peguamnya, K Ragunath, menaiki Toyota Vellfire berwarna putih tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada jam 9.50 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika dihubungi, berkata Ramasamy berkemungkinan dipanggil lagi sekiranya ada keperluan.

“Ramasamy memberi kerjasama yang baik sepanjang proses merakam keterangan.

“Kita akan panggil (Ramasamy) kembali atau tidak bergantung kepada proses siasatan,” katanya.

Berita Harian X