Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:01pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kerjasama 1MDB dan PSI meninggalkan hutang AS$700 juta

KUALA LUMPUR: Perjanjian usaha sama di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta.

Ia berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Beban hutang AS$700 juta itu berlaku selepas syarikat usaha sama masih dimiliki PSI.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pada perbicaraan hari ke-25 kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Dalam keterangan Shahrol Azral sebelum ini, saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Pengarah dan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, tidak berpuas hati dengan pembayaran sebanyak AS$700 juta kepada akaun Good Star, yang juga syarikat sekutu PSI.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Shahrol Azral menjelaskan bahawa hutang itu merujuk kepada perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI Ltd pada 25 September 2009 di mana ketika perjanjian, pengesahan syarikat usaha sama belum dimeterai.

“Perjanjian pinjaman AS$700 juta itu dibuat antara 1MDB-PSI Ltd iaitu sebagai peminjam manakala PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai pemiutang.

“Kedua-dua perjanjian itu ditandatangani (merujuk dokumen) individu sama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid,” katanya.

Ketika ditanya sama ada saksi kesembilan itu tahu mengenai perjanjian pinjaman, Shahrol Azral menjawab “tidak tahu.”

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat perjanjian pinjaman itu sepanjang berkhidmat dengan 1MDB.

Shahrol Azral juga tidak bertanyakan mengenai perjanjian pinjaman itu kepada bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Cassey Tang Cheng Kee berikutan urusan berkenaan adalah tanggungjawab Cassey.

“Saya percaya, Casey akan memastikan perjanjian pinjaman AS$700 juta yang ditandatangani 1MDB-PSI berada dalam keadaan seperti dikehendaki (sepatutnya).

“Cassey mempunyai pengalamannya yang luas. Jadi beliau akan memastikan semuanya mengikut peraturan,” katanya.

Shahrol Azral turut mengesahkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga tidak pernah mengetahui berhubung perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI pada 29 September 2009.

Beliau bersetuju dengan Muhammad Shafee di mana sekiranya perjanjian pinjaman itu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah, ia tidak akan dipersetujui.

Berita Harian X