Jumaat, 18 Oktober 2019 | 7:06pm
ZULKIFLI (tengah) bergambar beramai bersama peserta selepas pertandingan Cabaran 180 Hari Body Mass Index (BMI) ideal peringkat Ibu Pejabat AADK selepas Program Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat AADK bagi Tahun 2019, di Ibu Pejabat AADK, Sungai Merab, Bangi. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr. Sabri Zainuddin Zainul dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib. NSTP/Azhar Ramli.

Tanam ketum jadi kesalahan jika pindaan diluluskan

KAJANG: Penanaman ketum menjadi satu kesalahan jika cadangan pindaan Akta Racun 1952 mengenainya diterima di Parlimen dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata pada dasarnya Kementerian Kesihatan yang mencadangkan pindaan berkenaan sudah bersetuju untuk membawanya ke Parlimen.

Katanya, pindaan Akta Racun 1952 dalam proses akhir siap dan akan dibahaskan pada sesi Parlimen kali ini.

“Jika Jemaah Menteri setuju, menanam pokok ketum akan menjadi satu kesalahan.

“Pindaan ini bertujuan untuk mengawal penanaman ketum daripada disalah guna kepada kegiatan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara dan Cabaran 180 Hari Sihat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr Sabri Zainuddin Zainul dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) ADDK, Datuk Izhar Abu Talib.

Beliau menegaskan negara ini tidak membenarkan penanaman dadah kecuali morfin yang digunakan untuk perubatan.

“Sama seperti dasar negara Asia Tenggara yang lain, tidak kiralah ganja atau ketum, kita tidak benarkan ia ditanam kecuali bagi tujuan perubatan dan penyelidikan,” katanya.

Ditanya mengenai alat saringan ketum yang sedang tular di media sosial, beliau berkata alat itu masih dalam peringkat kajian untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.

“Alat itu diperkenalkan oleh satu pihak dari luar agensi dan pihak kami masih menjalankan ujian dan penilaian sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Selain itu, pihak AADK juga sedang mengkaji kawasan panas baharu selain 178 kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Berita Harian X