Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:13pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Najib umpama Maharaja 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, mengakui meletakkan Datuk Seri Najib Razak seperti ‘Maharaja 1MDB’ kerana bekas Perdana Menteri itu memiliki kuasa mutlak.

Mengikut saksi pendakwaan kesembilan itu, walaupun peruntukan Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB mengambil kira pandangan Lembaga Pengarah, namun secara amalannya Najib memiliki kuasa penuh dan bebas menguruskan hal ehwal syarikat pelaburan strategik itu.

Shahrol Azral yang disoal balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-23 perbicaraan, berkata sepanjang bekerja rapat dengan Najib, pihaknya perlu mengikut permintaan bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee yang merujuk kepada Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB, mencadangkan Artikel 117 memperuntukkan bahawa sesetengah perkara tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran bertulis Perdana Menteri, tetapi keputusan masih terletak di tangan Ahli Lembaga Pengarah.

Disoal Muhammad Shafee berhubung tafsiran Artikel itu, Shahrol Azral berkata secara keseluruhannya, peruntukan itu memberikan laluan kepada kerajaan untuk menggunakan 1MDB sebagai instrumen pelaburan strategik.

Jelas saksi itu lagi, pada masa sama ia memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk menguruskan hak ehwal syarikat dengan bebas bagi menentukan hala tuju syarikat.

“Dari tahun 2009 sehingga saya meninggalkan jawatan CEO dalam 1MBD pada tahun 2013, Najib memegang kuasa mutlak dalam menguruskan 1MDB,” katanya.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan kepada kamu, peruntukan ini seperti kuasa veto oleh seorang Perdana Menteri melangkaui keputusan syarikat?

Shahrol Azral: Secara hitam putih iya, tetapi ia tidak terjadi seperti itu. Apa yang saya boleh katakan apabila bekerja secara rapat dengan Perdana Menteri, kita perlu mengikut permintaannya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu, interpretasi kamu adalah salah. Kamu membuatkan Najib seperti Maharaja 1MDB, seolah-olah tidak ada semak dan imbang?

Shahrol Azral: Dalam kes ini? Saya boleh katakan iya.

Muhammad Shafee: Jadi dia (Najib) memang Maharaja dalam 1MDB.

Shahrol Azral: Dalam urusan usaha sama dijalankan 1MDB dengan syarikat luar, iya.

Terdahulu di awal prosiding itu, Shahrol Azral, memberitahu mahkamah, pelantikan beliau sebagai pengarah ditandatangani Najib atas kapasiti sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.

Muhammad Shafee kemudian mempersoalkan bahawa pelantikan itu adalah tidak sah kerana ia seharusnya ditandatangani Najib atas kapasiti sebagai Perdana Menteri.

Peguam itu kemudian mencadangkan kepada saksi bahawa perlantikannya adalah satu penipuan dan tidak sah.

Shahrol membantah cadangan itu dan menyatakan ia masih ditandatangani orang sama (Najib).

“Pelantikan itu juga dibuat menggunakan kepala surat Perdana Menteri,” katanya

Pada prosiding itu, Shahrol Azral turut mengakui menandatangani Minit Mesyuarat di antara Pengerusi Lembaga Penasihat dan CEO 1MDB.

Antara kandungan Minit Mesyuarat itu membabitkan isu kontroversi termasuk pelaburan ke dalam Kumpulan Hotel Maybourne di United Kingdom (UK).

Shahrol Azral memberitahu Minit Mesyuarat itu turut mengandungi cadangan untuk 1MDB melabur sebanyak Pound Sterling £52 juta dengan memiliki pegangan 12 peratus.

Berita Harian X