Khamis, 17 Oktober 2019 | 4:21pm
Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy. - NSTP/Asyraf Hamzah
Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy. - NSTP/Asyraf Hamzah

Ramasamy beri keterangan Isnin ini

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy, hari ini mengesahkan akan hadir memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, pada Isnin ini.

Beliau berkata, keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 itu berhubung siasatan mengenai satu artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ yang disiarkan portal Malaysia Gazette.

“Pada 9 Oktober lalu, saya menerima panggilan daripada Unit D5 Bukit Aman yang menyatakan bahawa polis perlu ambil keterangan saya berhubung laporan polis yang dibuat terhadap saya.

“Tarikh yang ditetapkan dan dipersetujui adalah pada 21 Oktober ini, jam 10 pagi di Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 September lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, beliau rasa terkilan dan terkejut dengan kes berbalas tembakan antara polis dan tiga perompak lelaki berbangsa India dari Batu Caves hingga ke Batu Arang, yang berlaku pada 14 September lalu.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Prai juga tertanya-tanya dengan kejadian itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Kenyataan Ramasamy di Facebooknya itu disiarkan portal berita Malaysia Gazette.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai giat melakukan samun pecah rumah, di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.

Berita Harian X