Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:42pm
Anggota polis forensik menjalankan siasatan selepas menjumpai keratan mayat bahagian manusia di kawasan perindustrian, Kampung Ladang, Krubong, minggu lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad
Anggota polis forensik menjalankan siasatan selepas menjumpai keratan mayat bahagian manusia di kawasan perindustrian, Kampung Ladang, Krubong, minggu lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad

Polis enggan sahkan keputusan air kencing suspek

MELAKA: Polis enggan mengesahkan keputusan status ujian air kencing yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Ladang, Krubong, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim, sebaliknya mahu supaya polis diberi ruang untuk menjalankan siasatan, sekali gus melengkapkan keseluruhan siasatan berkenaan.

“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Kita tidak boleh menghebahkan (maklumat) yang masih dalam siasatan.

“Apabila kes ini siap untuk dituduh, kami akan maklumkan kepada media,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak mahu siasatan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan mahu pegawai penyiasat tidak terpengaruh dengan suasana di luar sebaliknya mempunyai ruang yang selesa untuk melengkapkan siasatan.

Selain lokasi penemuan kedua-dua kepala dua beranak itu, identiti kedua-dua mangsa juga masih belum dapat disahkan kerana bimbang ia boleh mengganggu proses siasatan.

“Berilah peluang kita (polis) jalankan siasatan lanjut, saya perlu adil dan saya dah cukup beri penerangan,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada suspek lain yang ditahan, Mat Kasim berkata, polis tidak boleh mendedahkannya kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

BH Khamis lalu melaporkan, lapan bahagian tubuh badan mayat ditemukan berselerakan dalam semak oleh seorang pemotong rumput, di Kampung Ladang, Perindustrian Krubong.

Sumber memberitahu, mayat mangsa dipercayai wanita dan anak lelakinya dibunuh di rumahnya di Taman Merdeka Jaya sebelum dicampakkan ke kawasan semak, bagaimanapun kepala dua beranak itu ditemukan di siling rumah mangsa, sekitar jam 8 malam, Jumaat lalu.

Susulan itu, pada Sabtu, suspek warga Singapura yang ada hubungan dengan kedua-dua mangsa di reman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mat Kasim dalam kenyataan sebelum ini turut berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota badan yang ditemui berkenaan milik seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun seperti yang ditularkan.

Difahamkan, proses pengecaman telah dibuat oleh ahli keluarga sejak Sabtu lalu selain sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga telah diambil bagi pengesahan identiti.

Berita Harian X