Khamis, 17 Oktober 2019 | 2:38pm
Datuk Seri Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Pindaan Memorandum dan Artikel 1MDB luaskan kuasa Penasihat Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR: Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memperuntukkan sesetengah keputusan syarikat memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan, dipinda kepada ‘memerlukan kelulusan Perdana Menteri’.

Kelulusan Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 9(a) Memorandum dan Artikel 1MDB itu dipinda kepada kelulusan Perdana Menteri mengikut Artikel 117.

Artikel 117 berkenaan dimasukkan ke dalam Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB yang bersamaan dengan Artikel 9(a) bagi Memorandum dan Artikel Pertubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Syarikat pelaburan strategik TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dan kemudian ditukar nama kepada 1MDB pada September tahun yang sama serta diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.

Pindaan itu memberikan Datuk Seri Najib Razak kuasa yang luas sebagai Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pindaan itu adalah atas keinginan bekas Perdana Menteri dan perkara itu diberitahu kepadanya oleh Low Taek Jho, iaitu ahli perniagaan dalam buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Saksi itu menjelaskan, ia adalah idea dan cadangan Jho Low sendiri, yang dilakukan selepas menerima pakai nasihat firma guaman Wong dan Partners melalui peguam Brian Chia.

Jho Low mengatakan ia (pindaan) adalah seperti apa yang Najib inginkan,” katanya.

Dalam sesi soal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi kesembilan itu bagaimanapun berkata tidak pernah bertanyakan dan mengesahkan perkara berhubung ‘keinginan’ itu dengan Najib sendiri.

Beliau berkata, walaupun ada tiga pindaan kepada memorandum dan artikel persatuan termasuk artikel 117, 1MDB masih mempunyai kuasa untuk menguruskan syarikat.

Tambahnya, ia termasuk memberikan kuasa muktamad tanpa sebarang kelulusan daripada pemegang saham.

Berita Harian X